Bacalah!

Bacalah!

Thursday 1 May 2014

BELAJAR MEMBACA ( Teknik Membaca untuk Belajar)



i) Teknik tinjauan : Dalam literasi membaca untuk belajar teknik ini bertujuan untuk (1) menyediakan murid dengan sistem pendekatan membaca untuk membuat semakan awal (preview) bab kandungan dan (2) menyediakan guru dengan pendekatan tambahan untuk digunakan sebagai persediaan murid untuk membaca teks. Dari segi pelaksanaan, teknik ini menyediakan guru mata pelajaran dengan kaedah yang sistematik dan merupakan langkah pertama dalam kaedah membaca SQ3R. Melalui penggunaan teknik ini secara kerap, seseorang guru dapat memandu murid memahami kepentingan melakukan semakan awal sebelum membaca sesebuah teks.

ii) PORPE : PORPE merupakan panduan belajar yang dicipta oleh Simpson (1986,1992). Panduan belajar ini direka untuk membatu murid dalam (1) merancang, memantau dan menilai pembelajaran mereka secara aktif; (2) mempelajari proses-proses yang melibatkan penyediaan peperiksaan esei; dan (3) menggunakan proses menulis sebagai salah satu cara mempelajari bahan bidang kandungan. Sesuai dengan singkatan yang diberi, teknik PORPE mempunyai 5 langkah, iaitu (1) Predict (menelah); (2) Organize (menyusun); (3) Rehearse (reptai); (4) Practice (berlatih); dan (5) Evaluate (menilai).

iii) Mencatat nota untuk belajar : Kemahiran mencatat nota dibentuk bertujuan untuk (1) membantu murid menyediakan dan menyusun nota dengan cara yang sistematik, dan (2) menyediakan cara yang betul untuk membuat semak semula maklumat isi kandungan mata pelajaran yang telah dipelajari. Palmatier’s Notetakin System for Learning (NSL) bersifat luwes dan menggalakkan murid menggabungkan maklumat yang diperoleh dalam kelas dan daripada aktiviti membaca.

iv) PLEA : Tujuan strategi membaca PLEA adalah untuk menyediakan murid dengan satu sistem belajar yang membolehkan murid mematau dan mengawal pembelajaran mereka. Simpson dan Nist (1984) beranggapan bahawa strategi membaca PLEA merupakan satu cara untuk membantu murid menjadi murid yang berdikari melalui pembinaan kesedaran metakognitif semasa belajar.
Kejayaan dalam belajar berkisar tentang kesedaran tentang strategi belajar itu sendiri dan pengetahuan tentang strategi yang akan digunakan dan keupayaan mengawal kedua-dua elemen tersebut. Pengawalan strategi bermaksud merancang aktiviti sebelum melakukan sesuatu tugasan, memantau aktiviti-aktiviti yang dilakukan semasa proses pembelajaran, dan menilai keberkesanan strategi yang digunakan selepas sesebuah tugasan itu selesai. Oleh sebab ramai murid kekurangan kebolehan metakognitif untuk mengawal pembelajaran mereka, peluang mereka untuk berjaya dalam belajar amat terbatas. Berasaskan faktor tersebut, strategi membaca PLEA dibentuk untuk membantu murid belajar dengan lebih efektif.

v) Bengkel Internet : Bengkel internet ialah salah satu strategi membaca untuk mendapatkan maklumat daripada internet. Strategi ini sesuai digunakan kerana mudah dilaksanakan di dalam bilik darjah semasa pengajaran berlangsung. Bengkel internet juga mudah disesuaikan dalam jadual pengajaran mana-mana kelas, dan ia boleh digunakan tanpa mengorbankan satu lagi elemen kurikulum. Bengkel internet terdiri daripada bacaan yang bebas daripada maklumat di Internet sekitar topik dan lokasi yang pada mulanya ditetapkan oleh guru, ia diakhiri dengan sesi bengkel yang singkat. Pelajar boleh berkongsi dan bertukar-tukar idea dan strategi yang diperoleh oleh mereka semasa kerja mereka di internet. Bengkel internet membenarkan pelajar untuk belajar daripada rakan mereka tentang maklumat kandungan, kemahiran literasi kritikal, dan literasi teknologi baharu internet. Ia adalah salah satu pendekatan yang paling mudah untuk digunakan dengan Internet, khususnya kepada mereka yang telah biasa menggunakan pendekatan bengkel untuk mengajar membaca atau menulis.


No comments:

Post a Comment