Bacalah!

Bacalah!

Thursday 1 May 2014

DEFINISI MEMBACA

Membaca merupakan suatu proses yang kompleks dan juga rumit. Kompleks bermakna proses membaca ini melibatkan berbagai-bagai faktor, iaitu faktor dalaman dan faktor luaran seseorang pembaca. Manakala rumit pula merujuk kepada hubungan dan perkaitan antara faktor dalaman dan faktor luaran itu sendiri (Nurhadi, 2008 : 13). Kegiatan membaca meliputi tiga keterampilan iaitu recordingdecoding, dan meaning. Recording merujuk kepada kata-kata, kemudiannya mengaitkannya dengan bunyi-bunyinya sesuai dengan sistem tulisan yang digunakan. Proses decoding pula merujuk kepada proses penterjemahan rangkaian grafik kepada kata-kata atau perkataan. Manakala meaning merupakan proses memahami makna yang berlangsung dari peringkat pemahaman (Farida Rahim, 2008: 2).

Samsu Somadayo (2011: 4) mengungkapkan bahawa membaca adalah suatu kegiatan interaktif untuk memetik serta memahami erti yang terkandung di dalam bahan penulisan. Manakala, Tarigan (1985: 9) menjelaskan bahawa membaca adalah memahami pola-pola bahasa dari gambaran tulisannya. Smith & Johnson (1980) pula menyatakan proses membaca sebagai satu proses komunikasi antara pembaca dan penulis. Membaca menurut mereka ialah proses memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis menerus bahan yang dihasilkannya dalam bentuk paparan bertulis.


Dari beberapa pendapat di atas dapat disimpulkan bahawa membaca adalah proses pengasosiaan huruf, penterjemahan dan pemahaman makna isi bacaan.

TEORI MEMBACA

Dalam teori membaca, terdapat tiga pendekatan utama yang sering digunakan iaitu pendekatan konseptual, pendekatan empirikal dan pendekatan eksperimental.

a) Pendekatan konseptual ini diilhamkan oleh Kennel S. Goodman. Beliau beranggapan bahawa membaca merupakan proses komunikasi antara pembaca dan bahan bacaan yang dibacanya. Bagi memperbaiki kelemahan kajian ini muncul Teori Transformasi Generatif (TTG) oleh Noam Chomsky. Teori ini memperkenalkan satu model membaca yang dipanggil The Gidman Model of Reading, yang mana menekankan bahawa membaca berada dalam kumpulan yang sama dengan merakam, mengekod, menyahkod dan berakhir dengan kefahaman dan komprehensif.

b) Pendekatan Empirikal pula meliputi pengalaman dan proses penghayatan membaca kerana teori ini menganggap membaca sebagai suatu proses berfikir dan suatu set kemahiran. Selain itu, membaca juga ditakrifkan sebagai suatu aktiviti visual dan juga sebuah pengalaman berbahasa.


c) Pendekatan Eksperimental menganggap bahasa sebagai suatu proses atau perlakuan untuk mendapatkan makna melaluipembacaan. Pendekatan ini melibatkan kajian tertentu yang dilakukan terhadap satu set tingkah laku membaca yang dapat diperhatikan, ia dikaji dan kemudiannya dianalisis untuk dijadikan suatu teori.


BELAJAR MEMBACA ( Teknik Membaca untuk Belajar)



i) Teknik tinjauan : Dalam literasi membaca untuk belajar teknik ini bertujuan untuk (1) menyediakan murid dengan sistem pendekatan membaca untuk membuat semakan awal (preview) bab kandungan dan (2) menyediakan guru dengan pendekatan tambahan untuk digunakan sebagai persediaan murid untuk membaca teks. Dari segi pelaksanaan, teknik ini menyediakan guru mata pelajaran dengan kaedah yang sistematik dan merupakan langkah pertama dalam kaedah membaca SQ3R. Melalui penggunaan teknik ini secara kerap, seseorang guru dapat memandu murid memahami kepentingan melakukan semakan awal sebelum membaca sesebuah teks.

ii) PORPE : PORPE merupakan panduan belajar yang dicipta oleh Simpson (1986,1992). Panduan belajar ini direka untuk membatu murid dalam (1) merancang, memantau dan menilai pembelajaran mereka secara aktif; (2) mempelajari proses-proses yang melibatkan penyediaan peperiksaan esei; dan (3) menggunakan proses menulis sebagai salah satu cara mempelajari bahan bidang kandungan. Sesuai dengan singkatan yang diberi, teknik PORPE mempunyai 5 langkah, iaitu (1) Predict (menelah); (2) Organize (menyusun); (3) Rehearse (reptai); (4) Practice (berlatih); dan (5) Evaluate (menilai).

iii) Mencatat nota untuk belajar : Kemahiran mencatat nota dibentuk bertujuan untuk (1) membantu murid menyediakan dan menyusun nota dengan cara yang sistematik, dan (2) menyediakan cara yang betul untuk membuat semak semula maklumat isi kandungan mata pelajaran yang telah dipelajari. Palmatier’s Notetakin System for Learning (NSL) bersifat luwes dan menggalakkan murid menggabungkan maklumat yang diperoleh dalam kelas dan daripada aktiviti membaca.

iv) PLEA : Tujuan strategi membaca PLEA adalah untuk menyediakan murid dengan satu sistem belajar yang membolehkan murid mematau dan mengawal pembelajaran mereka. Simpson dan Nist (1984) beranggapan bahawa strategi membaca PLEA merupakan satu cara untuk membantu murid menjadi murid yang berdikari melalui pembinaan kesedaran metakognitif semasa belajar.
Kejayaan dalam belajar berkisar tentang kesedaran tentang strategi belajar itu sendiri dan pengetahuan tentang strategi yang akan digunakan dan keupayaan mengawal kedua-dua elemen tersebut. Pengawalan strategi bermaksud merancang aktiviti sebelum melakukan sesuatu tugasan, memantau aktiviti-aktiviti yang dilakukan semasa proses pembelajaran, dan menilai keberkesanan strategi yang digunakan selepas sesebuah tugasan itu selesai. Oleh sebab ramai murid kekurangan kebolehan metakognitif untuk mengawal pembelajaran mereka, peluang mereka untuk berjaya dalam belajar amat terbatas. Berasaskan faktor tersebut, strategi membaca PLEA dibentuk untuk membantu murid belajar dengan lebih efektif.

v) Bengkel Internet : Bengkel internet ialah salah satu strategi membaca untuk mendapatkan maklumat daripada internet. Strategi ini sesuai digunakan kerana mudah dilaksanakan di dalam bilik darjah semasa pengajaran berlangsung. Bengkel internet juga mudah disesuaikan dalam jadual pengajaran mana-mana kelas, dan ia boleh digunakan tanpa mengorbankan satu lagi elemen kurikulum. Bengkel internet terdiri daripada bacaan yang bebas daripada maklumat di Internet sekitar topik dan lokasi yang pada mulanya ditetapkan oleh guru, ia diakhiri dengan sesi bengkel yang singkat. Pelajar boleh berkongsi dan bertukar-tukar idea dan strategi yang diperoleh oleh mereka semasa kerja mereka di internet. Bengkel internet membenarkan pelajar untuk belajar daripada rakan mereka tentang maklumat kandungan, kemahiran literasi kritikal, dan literasi teknologi baharu internet. Ia adalah salah satu pendekatan yang paling mudah untuk digunakan dengan Internet, khususnya kepada mereka yang telah biasa menggunakan pendekatan bengkel untuk mengajar membaca atau menulis.


MASALAH DALAM MEMBACA

Membaca adalah aktiviti yang penting dalam kehidupan manusia dan kemahiran ini merupakan asas pembentukan diri ke arah mendapatkan ilmu pengetahuan. Proses membaca memerlukan urutan atau rentetan yang berulang-ulang begi memastikan para pelajar dapat memahami apa yang sedang mereka bacakan serta menguasai proses bacaan tersebut. Kebiasaanya masalah dalam proses membaca ini banyak dihadapi oleh pelajar di peringkat sekolah rendah. Namun demikaian, terdapat juga segelintir pelajar di sekolah menengah tidak pandai membaca. Hal ini amat membimbangkan bagi pihak ibu bapa, pendidik dan juga masyarakat. Menurut Marohaini Yusoff (1999), factor-faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca seseorag adalah pelbagai dan saling berkaitan antara satu sama lain.

Faktor individu

Dalam hal ini kemahiran kognitif pelajar perlu diambil kira kerana setiap pelajar mempunyai kemahiran kognitif yang berbeza-beza walaupun mereka sebaya. Masalah ketidakbolehbacaan ini timbul apabila seorang pelajar itu tidak dapat memahami apa yang tela diajarkan kepada mereka semenjak dari kanak-kanak sehingga meningkat dewasa dan menyebabkan masalah keciciran dalam pembacaan. hal ini berpunca daripada kemahiran kognitif pelajar tersebut lemah. Selain itu, kecacatan fizikal akan mempengaruhi keupayaan membaca seseorang pelajar. Antaranya dari segi penglihatan seperti juling, rabun dekat, rabun jauh, astigmatism dan amblyopiks. Tambahan lagi, dari segi persepsi penglihatan dimana pelajar yang mempunyai persepsi penglihatan yang bercelaru akan menyebabkan kesukaran membaca.


Ketidakbolehan untuk mentafsir simbol dan huruf untuk diterjemahkan dalam ayat atau perkataan secara lisan

Menurut Abdul Rasid dan Zulkafli (2008), masalah dalam menguasai kemahiran membaca dan meulis menjadikan pelajar lemah dan tidak berminat dalam proses pembelajaran dan secara tidak langsung menyebabkan mereka keciciran dalam pengajaran. Permasalahan membaca yang ada dalam diri pelajar adalah seperti keliru mengecam huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak dapat membunyikan perkataan dengan betul dan tepat. Secara tidak lansung, dalam masalah ketidakbolehan mentafsir simbol atau huruf untuk diterjemahkan akan menimbulkan pola bacaan yang tidak sekata


Faktor psikologi

Tahap kesihatan serta gangguan emosi sering menjadi punca masalah dalam proses pembelajaran. Hal ini kerana pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi seperti takut, bimbang dan pelbagai yang boleh menjejaskan perhatian dalam proses pembacaan (Zulkifley Hamid, 2006). Sikap kurang minat membaca pada dirinya adalah berpunca daripada kegagalannya untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik. Selain itu juga, masalah kurang rangsangan daripada luar juga menyebabkan para pelajar bermasalah dalam proses membaca. Hal ini adalah kerana, kekurangan perhatian daripada guru akan menyebabkan pelajar tersebut akan keciciran dalam proses pembacaan.

Mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan

Masalah dalaman yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembacaan juga berkait dengan masalah mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan. Hal ini adalah kerana peroses pembacaan memerlukan para pelajar untuk mengigati huruf dan bunyi bagi setiap huruf-huruf tersebut. Menurut Rajesvari a/p Ramasamy (2008). beliau telah menyatakan antara permasalahan yang dihadapi oleh pelajar pemulihan ini ialah mudah lupa perkataan yang dibaca. Daya ingatan mereka sangat singkat dan cepat melupakan perkara yang telah dipelajari oleh mereka. Ramai pelajar-pelajar pemulihan juga mengalami masalah dalam pengamatan. Mereka kurang mahir mengecam bentuk perkataan yang dibaca. Masalah ini mungkin disebabkan mereka sukar memberi tumpuan atau perhatian.



PEMILIHAN BAHAN BACAAN

Khairusy Syakirin (2007) telah menjelaskan berkaitan kepentingan pemilihan bahan bacaan dalam penulisannya. Beliau menyatakan bahawa bukan semua bahan bacaan boleh menjadikan sesebuah bangsa itu maju. Jadi, sesuatu bahan bacaan perlu dipilih terlebih dahulu sebelum dibeli atau dibaca. Hal ini kerana, membaca bahan bacaan yang sesuai dan bermutu adalah sangat penting bagi perkembangan kanak-kanak. Tambahan lagi, bahan bacaan juga mempunyai pelbagai jenis kriteria yang menjadi petunjuk kepada pembaca dalam membuat pemilihan bahan bacaan yang bersesuaian. Oleh hal demikian, interaksi antara bahan bacaan dengan pembaca perlu diwujudkan bagi memudahkan segala maklumat dapat diterima oleh pembaca.
Antara kriteria dalam pemilihan bahan bacaan adalah:

Faktor tulisan yang jelas

Faktor ini mengambil kira dari segi saiz tulisan, jenis fon, jarak antara huruf, jarang antara baris, saiz muka surat, ketebalan cetakan tulisan dan pelbagai lagi.


Faktor ilustrasi dan warna

Ilustrasi atau warna mampu menarik minat pembaca untuk membaca tetapi jika terlalu banyak boleh menyebabkan mereka hilang tabiat membaca dan hanya bergantung kepada warna sahaja. Hal ini kerana tidak semua maklumat boleh diletakkan dalam grafik. Kajian oleh Andrews & Scharff (2002) menunjukkan pelajar-pelajar pra sekolah lebih berminat buku yang bergambar terang dan realistik berbanding buku-buku yang mengandungi gambar-gambar terang dan abstrak, suram dan realistik.

Faktor perbendaharaan kata

Faktor ini melibatkan kepanjangan perkataan iaitu dari segi suku kata dan julah huruf. Selain itu, kekerapan penggunaan perkataan juga akan membantu pelajar untuk memahami makna teks di samping adanya perkataan yang panjang atau sukar tidak diulang beberapa kali. Selain itu, factor ini paling penting dalam menentukan tahap kesukaran bahan bacaan.

Struktur ayat

Struktur ayat yang kompleks akan menyukarkan pembaca untuk memahami teks. Tambahan lagi, penggunaan unit tatabahasa seperti ayat pasif, ayat songsang dan sebagainya ada kalanya membuatkan struktur ayat yang sukar untuk difahami. Namun, penggunaan perkataan kemungkinan seperti mungkin, selalunya, dan kadang kala akan menyebabkan kekaburan dan ketidakjelasan teks yang dibaca. kesukaran ayat boleh dikategorikan kepada lima iaitu:

a)      Kata kerja berbanding kata kerja pasif
b)      Proses membentuk kata nama
c)      Kata kerja bantu
d)     Bilangan klausa dalam ayat
e)      Pemahaman dan penggantian

Faktor susunan teks

Faktor ini sangat berkait rapat dengan cara atau kaedah sesuatu teks itu dipersembahkan. Susunan teks turut mengambil kira dari segi aspek seperti perenggan, tajuk-tajuk kecil, penggunaan perkataan yang digariskan, dicondongkan atau ditebalkan. Secara tidak langsung, ia menjadi sesuatu yang penting dalam pemilihan bahan bacaan terutama bagi pelajar-pelajar yang mempunyai masalah dalam membaca




PENDEKATAN HOLISTIK DALAM PENGAJARAN BACAAN

Satu Pendekatan Holistik
Literasi bahasa adalah kemampuan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu mendengar, bertutur (kecuali bagi mereka yang mempunyai kecacatan kekal pendengaran dan pertuturan), membaca, menulis dan berfikir. kemahiran tersebut perlu berlak serentak dan tidak terpisah-pisah. Kemahiran berfikir seharusnya mendampingi keempat-empat kemahiran asas bahasa tersebut.

Penampilan Literasi dan Penguasaan Bahasa
Bahasa dikuasai menerusi:
-Apabila bahasa mengandungi makna
-Menerusi interaksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa
-Dengan melakukan anggaran
-Pada kadar yang berbeza dan menerusi peringkat-peringkat tertentu walaupun mereka akan menerusi peringkat penguasaan yang sama

Teknik Membaca
a)     Membaca bebas
-Pelajar berpeluang membaca bahan yang mereka pilih dari sekumpulan bahan yang disediakan guru
-Aktiviti membaca yang dijalankan di dalam bilik darjah dikawal guru seberapa minima yang boleh
-Guru perlu menyediakan arahan awal supaya pelajar membuat beberapa persediaan sebelum membaca seperti menyediakan soalan-soalan sebelum, ketika dan sesudah membaca dengan sendiri

b)     Menelaah
- Pelajar membuat telahan tentang apa yang mereka fikirkan akan berlaku atau apa yang akan mereka pelajari pada bahagian lain
-Mereka perlu membincangkan sama ada mereka perlu menetapkan telahan atau mengubah semula telahan tersebut
- Pola ini berterusan sehingga keseluruhan bahan selesai dibaca

c)     Membaca Senyap
- Setiap pelajar akan membaca bahagian yang sama secara senyap, dan telahan perlu dibuat ketika membaca senyap
-Bincang, bertindak balas dan semak telahan
-Apabila pelajar berhenti membaca, ceritakan semula atau ringkaskan apa yang telah  mereka baca
-Mereka juga menyatakan perasaan mereka terhadap apa yang telah mereka baca atau ketahui

d)     Meringkas dan Bertindak Balas
-Setelah selesai keseluruhan petikan, pelajar meringkas apa yang mereka baca
-Mereka bertindak balas dengan membincangkan apakah yang mereka rasakan terhadap bahan yang mereka baca dan menentukan apakah yang perlu dilakukan terhadap bahan tersebut
-Mereka boleh bertindak balas dengan menceritakan kepada seseorang tentang bahan yang dibaca, menulis ringkasan cerita atau membuat lukisan yang dapat menggambarkan suasana atau watak yang dibaca

e)     Membaca Secara Berkoperatif
-Pelajar diberikan bahagian tertentu untuk sesi membaca
-Setiap orang ditugaskan untuk menyelesaikan bacaan bahagiannya dan menceritakan semula apa yang dibaca kepada kumpulan yang lebih besar
-Tugas membuat ringkasan atau ulasan terhadap bahan dilakukan bersama-sama

f)      Membaca Lantang
-Pilih seorang pelajar untuk membaca lantang bahagian awal teks sementara pelajar lain mengikut bacaan tersebut secara beramai-ramai
-Bincang, bertindak balas dan semak telahan
-Apabila pelajar berhenti membaca lantang, ceritakan semula atau bincangkan apa yang telah dibaca

g)     Membaca dengan Panduan Guru
-Guru memberikan panduan atau mengarahkan pelajar menerusi pembacaan senyap terhadap sesuatu bahan dengan bertanya soalan atau membantu mereka membina soalan-soalan yang dapat mereka jawab ketika mereka terus membaca bahagian bahan yang telah ditetapkan
- Guru membantu pelajar membuat telahan terhadap bahagian bahan yang telah dibaca

h)     Berkongsi Membaca
-Guru membaca lantang satu cerita dan mengajak murid bersama-sama membaca
-Cerita akan dibaca beberapa kali dan murid akan diberi peluang bagi nertindakbalas menerusi penulisan, lukisan, drama, perbincangan dan pelbagai lagi aktiviti menarik

i)       Kombinasi Kaedah-Kaedah Membaca
-Kelima-lima kedah tersebut dapat membantu pelajar dalam pelbagai peringkat dan kadang kala kaedah ini boleh digabungkan dalam sesuatu pengajaran
-Dengan menggabungkan kelima-lima kaedah ini guru menyediakan bantuan asas pada peringkat awal, kemudian membenarkan pelajar dibantu oleh pasangannya dan pada peringkat akhir pelajar tersebut dapat membaca dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa



PENTAKSIRAN KEMAHIRAN MEMBACA

Maksud pentaksiran  kemahiran membaca:

Menurut Noraini Idris (2008), pentaksiran dirancang dan dikendalikan oleh guru dan menjadi sebahagian daripada proses pengajaran yang diharapkan dapat memperbaiki proses pembelajaran pelajar. Pentaksiran dilaksanakan secara berterusan yang bersifat formatif melibatkan guru sepenuhnya dan memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan penguasaan mereka dalam kemahiran yang dipelajari, yang tidak boleh ditaksir melalui ujian bertulis. Kaedah pentaksiran ini amat sesuai digunakan untuk mentaksir kemahiran pelajar. 

Ia merupakan kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh murid-murid. Pentaksiran kemahiran membaca penting untuk guru-guru mengetahui tahap kemajuan murid-murid. Pentaksiran  ini boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk pentaksiran  dan jenis pengujian.Kemahiran membaca merupakan keupayaan murid-murid membaca ayat dengan lancar serta sebutan ,intonasi dan jeda yang betul. Penekanan perlu diberikan kepada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara krirtis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.


Ciri-ciri Pentaksiran membaca:
1.      Merupakan satu proses yang berterusan.
2.      Menjelaskan kemajuan pembelajaran seseorang.
3.      Pentaksiran menghendaki sampel kerja ,murid yang mencukupi.
4.      Boleh dilakukan secara pentaksiran dengan sendiri.
5.      Terbuka dan tiada batasan.
6.      Teknik pentaksiran seharusnya memberi peluang kepada murid merasai perubahan tingkah laku yang ingin dicapai oleh mereka.

Matlamat  pentaksiran kemahiran membaca: 

Matlamat persepsi:
1.      Dalam pentaksiran, murid-murid harus prihatin terhadap kebolehubahan mereka.
2.      Mereka boleh menyesuaikan kadar membaca dan peka terhadap sesuatu
konsep perkataan.
Matlamat kognitif:
1.      Untuk mencapai matlamat ini dalam pentaksiran ,keprihatinan harus ditumpukan terhadap jenis aras pemikiran yang digunakan semasa membaca.
Matlamat Afektif:
1.      Pentaksiran ini harus menimbulkan perasaan dan sikap murid terhadap bahan yang dibaca.
2.      Murid-murid dinilai secara berterusan dengan jujur dan adil agar pelajar dapat mengalami setiap aras kesukaran iaitu dari mudah kepada kompleks.


Proses pentaksiran kemahiran membaca:
1.      Mengenal pasti idea keseluruhan:
a.       Mesej utama yang disampaikan penulis.
b.      Mengesan pandangan, pendapat ,emosi penulis.
c.       Kenal pasti prinsip penulisan.
-          Pengelasan mengikut kronologi.
-          Pengelasan mengikut hierarki.
-          Pengelasan mengikut ciri-ciri.
2.      Mengenal idea Utama dan Keterangan:
a.       Idea Utama.
-          satu atau lebih idea utama.
-          satu idea utama dalam satu perenggan
b.      Sokongan
-          Huraian atau keterangan yang menyokong idea utama.
-          Disertai dengan contoh-contoh.
3.      Membuat Ramalan dan Kesimpulan:
a.      Dibuat sesudah pembaca mengesan isi tersirat.
b.      Mesti baca dan teliti seluruh teks.
c.      Tidak semestinya disokong dengan contoh dan keterangan.
d.      Lahir daripada resolusi dan kefahaman pembaca.



Secara kesimpulan, pentaksiran kemahiran membaca juga dianggap sebagai salah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan ianya adalah penting bagi tujuan mengesan tahap kemajuan atau pencapaian kemahiran membaca bagi setiap murid-murid.